Sejarah Ichitaro (pemproses perkataan)

Permulaan

Syarikat JustSystems diasaskan pada Julai tahun 1979 oleh Hatsuko (初子) dan Kazunori Ukigawa, dan telah diperbadankan pada Jun tahun 1981. Kazunori pernah bekerja di sebuah anak syarikat Toshiba, dan dia berminat dalam pengkomputeran bahasa Jepun. Toshiba pernah mengeluarkan JW-10 [ja] (sebuah model komputer) pada Februari tahun 1979 sekali dengan pemproses perkataan pertama untuk bahasa Jepun. Walaubagaimanapun, penjualan perisian tersebut lebih kurang daripada penjualan komputer mereka. Dia mengasaskan syarikat itu pada mulanya sebagai syarikat pengedar komputer, dan mereka mula menjual perisian bahasa Jepun. Selepas keluaran model PC-8801, mereka membangunkan perisian invois untuknya, yang mencetak anggaran dan invois di dalam bahasa Jepun. Mereka mempamerkan perisian mereka di sebuah pameran perdagangan, dan menerima respons yang positif. [2]

Semasa mereka menghubungi ASCII Microsoft tentang bayaran lesen penggunaan pengkompil BASIC dalam perisian pengurusan ladang mereka, ASCII baru sahaja mengetahui mengenai JustSystem dan produk perisian Jepun mereka. ASCII kemudian meminta JustSystems untuk membangunkan perisian pemproses perkataan Jepun untuk model komputer PC-100 mereka. Ia dikeluarkan sebagai perisian JS-WORD pada tahun 1983. Perkembangan perisian ini diikuti JS-WORD 2.0 yang dialihkan untuk model PC-9801 . Kedua-duanya diterbitkan oleh ASCII di bawah nama syarikat mereka. JS-WORD menampilkan sokongan tetikus dan antara muka (interface) berasaskan ikon grafik, akan tetapi fungsi ini menghasilkan prestasi perisian yang lemah. [5] jX-WORD untuk IBM JX telah dikeluarkan dan pada tahun 1985, jX-WORD Taro telah dikeluarkan untuk PC-9801. jX-WORD Taro berharga 58,000 yen, yang merupakan harga pertengahan antara perisian pemproses perkataan Jepun, dan terjual sebanyak 9,700 salinan. [2] [6]

Penguasaan dalam pasaran PC Jepun

Ichitaro Ver.3 untuk PC-98

Pada tahun yang sama, perisian Ichitaro telah dipasarkan sebagai pengganti kepada siri perisian jX-WORD. Cakera sistem Ichitaro mengandungi ATOK 4 dan versi masa jalan (runtime) MS-DOS 2.11. Hal ini membenarkan pengguna menggunakan aplikasi MS-DOS lain dengan sokongan bahasa Jepun. [6] Pesaing terbesar untuk pasaran ini ialah perisian Matsu (松) yang dikeluarkan pada tahun 1983 oleh Kanri Kougaku Kenkyujo (管理工学研究所) . Matsu mempunyai prestasi kelajuan yang lebih laju daripada Ichitaro sebab perisian tersebut ditulis dalam bahasa himpunan dan dijalankan secara asli pada PC-9801. Akan tetapi kaedah input Jepun untuk perisian Matsu tidak boleh digunakan untuk aplikasi lain. Manakala Ichitaro mempunyai banyak pilihan tetapan taip daripada Matsu. Matsu juga beharga lebih mahal iaitu berharga pada 128,000 yen sebelum Ichitaro dipasarkan. [7]

Versi pertama Ichitaro telah terjual sebanyak 29,000 salinan. Ichitaro Ver.2 telah terjual sebanyak 80,000 salinan. Ichitaro Ver.3 ialah versi pertama yang dialihkan untuk platform DOS Jepun yang lain. Ia telah terjual lebih daripada 300,000 salinan sehingga tahun 1991. Jumlah jualan Ichitaro mencecah satu juta pada November tahun 1991. [6] Bertentangan dengan pasaran komputer peribadi Jepun yang berkembang menjadi pemula, Matsu berorientasikan untuk pengguna kuasa (power user), jadi Ichitaro menjadi pemegang pasaran yang pertama untuk perisian ini pada era tersebut. [7]

Ichitaro Ver.4 telah dikeluarkan pada April tahun 1989. Ia mempunyai persekitaran operasi proprietari yang dipanggil Just Window (ジャストウィンドウ) , seperti Lotus Symphony . Tiga lagi versi kecil untuk Ichitaro Ver 4 dikeluarkan selepas itu kerana perisian tersebut mempunyai pelbagai masalah pepijat. Versi yang stabil ialah versi 4.3 yang dikeluarkan pada Disember tahun 1989. [2] [8] ATOK versi 7 telah digabungkan dengan Ichitaro versi 4, dan boleh didapati sebagai produk kendiri pada tahun 1992. [9]

Ketibaan Microsoft Word

Microsoft mengeluarkan perisian Microsoft Word versi Jepun pertama untuk Windows pada tahun 1991. Empat tahun kemudian Ichitaro versi 5 dikeluarkan untuk platform DOS Jepun pada April tahun 1993. Pada bulan berikutnya, Microsoft mengeluarkan Windows 3.1 Jepun dan Microsoft Office versi Jepun pertama, hal ini termasuk perisian Word 5.0 dan perisian Excel 4.0 di dalam bahasa Jepun. [10] Perisian ini terjual sebanyak 200,000 salinan sebulan pada akhir tahun 1994. [11] Manakala JustSystems hampir tidak sempat menyelesaikan penyesuaian perisian Ichitaro untuk komputer Windows pada Disember tahun 1993, [12] tetapi Microsoft telah berjaya mengambil alih pasaran yang dikuasai oleh Ichitaro dan Lotus 1-2-3 .

Yang mana satu anda gunakan: Microsoft atau Ichitaro? (1997)
Microsoft Word
  
64%
Ichitaro
  
35%
Keputusan kaji selidik, Impress PC Watch[13]

Sehingga tahun 1997, laman web media Jepun melaporkan bahawa 64 % pembaca menggunakan perisian Microsoft Word, dan antara sebab utamanya ialah mereka menggunakannya di pejabat dan sekolah. Manakala 35 % yang selebihnya menggunakan perisian Ichitaro, dan sebab utama ialah kerana terdapat aplikasi IME dan ATOK untuk penulisan dalam bahasa Jepun. [13]

Pada tahun 1998, Suruhanjaya Perdagangan Adil Jepun memaklumkan kepada syarikat Microsoft tentang strategi perniagaan mereka yang tidak adil kerana mereka memaksa pengeluar komputer peribadi untuk mempakejkan sekali dengan perisian Excel dan perisian Word, sekaligus menghalang permintaan mempakejkan perisian Excel dan Ichitaro. [14]

Ichitaro Ver.5 telah dialihkan ke komputer Macintosh dan ke OS/2 . Pada Mei tahun 2003, Ichitaro untuk versi Linux telah diumumkan. Versi padat, "Ichitaro dash" dan "Ichitaro lite" dihasilkan untuk PC komputer riba . Ichitaro untuk kegunaan pejabat juga tersedia dan dinamakan "Just home". Syarikat JustSystems juga mengeluarkan pelbagai versi Ichitaro untuk pelajar; "Ichitaro smile" disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan "Ichitaro jump" kepada pelajar sekolah menengah dan menengah.

Pada 1 Februari tahun 2005, jualan dan pengeluaran perisian Ichitaro telah dibekukan sementara menunggu keputusan rayuan oleh syarikat JustSystems terhadap keputusan Mahkamah Daerah Tokyo. Mahkamah tersebut mendakwa JustSystems telah membuat pelanggaran paten yang dimiliki oleh syarikat Matsushita Electric Industrial Co., Ltd. [15] Walaubagaimanapun, pada 30 September tahun 2005, Mahkamah Tinggi Harta Intelek Jepun, yang baru ditubuhkan pada April tahun yang sama, telah meluluskan rayuan JustSystems. Oleh kerana penghakiman ini menjadi keputusan muktamad pada Oktober tahun 2005, keputusan asal mengenai pelanggaran paten yang dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo telah dibatalkan. [16]

Pada tahun 2009, JustSystems menjadi anak syarikat Keyence . Pada 2010-an, mereka memberi tumpuan kepada perisian pendidikan, perisian surat-menyurat dan perisian berkaitan perusahaan. Pada masa yang sama perisian Ichitaro dan ATOK versi baharu terus dibangunkan. [17]

Berkaitan